|

Dua guru kempunan duit gaji

BENTONG – Dua guru berdepan detik cemas apabila bukan sahaja dirompak, tetapi turut dibawa ‘lari’ perompak hampir 30 kilometer dari rumah sebelum dicampak di tepi jalan.

Namun, mereka bernasib baik kerana berjaya ditemui orang awam yang kemudiannya menghubungi polis bantuan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, guru terbabit, Md Fikri Hasbollah, 28, dan rakannya, Ismail Ibrahim, 32, sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing di Taman Hijau, Karak dekat sini. Md Fikri berkata, dia dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki dan seorang wanita bersenjatakan parang.

Menurutnya, dia disuruh bangun dan kemudiannya dibawa masuk ke bilik rakannya, Ismail.

“Mereka juga memaksa kami menyerahkan dompet dan barang berharga. Selepas itu mereka bertindak menutup mata kami menggunakan pita pelekat termasuk mengikat kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Md Fikri berkata, salah seorang suspek turut mengarahkannya memberikan nombor pin bank dan mengu­gut akan memotong jarinya sekiranya beri nombor yang salah.

Menurutnya, dia dan rakan terpaksa memberikan nombor yang betul bagi mengelakkan diri diapa-apakan dalam kejadian itu.

“Seingat saya, kami turut dibawa menaiki kereta Kelisa milik Ismail dan diminta tunggu di dalam kereta sementara urusan mengeluarkan duit dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selesai. Saya tidak pasti ke mana kami dibawa selepas itu, tetapi dipercayai sekitar Mentakab,” katanya.

Md Fikri berkata, mereka berdua dipindahkan dari kereta Kelisa ke kenderaan lain dipercayai van yang di dalamnya terdapat beberapa orang lain sebelum dicampakkan ke tepi jalan sekitar kawasan Mentakab. Menurutnya, mereka diselamatkan polis peronda kira-kira jam 7 pagi.

“Kejadian ini sememangnya amat menakutkan dan memberi kesan terhadap emosi. Namun kami bernasib baik tidak diapa-apakan oleh penjenayah terbabit,” katanya.

Manakala bagi, Ismail pula, selain kereta miliknya dilarikan, mereka berdua kempunan menikmati duit gaji bagi bulan ini.

Menurutnya, gaji bulanan baru sahaja masuk dua hari lalu, namun semuanya dikebas perompak itu.

“Kejadian berlaku sememangnya tidak disangka kerana tidak sampai sebulan kami berdua berpindah ke rumah ini. Kami juga masih belum sempat membayar sewa bulanan,” katanya.

Ismail berkata, jumlah kerugian dialami mereka dianggarkan mencecah RM30,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya mengesah­kan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian.

“Orang awam mempunyai maklumat diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Susulan kejadian ini, saya menasihatkan penduduk agar peka dengan keadaan persekitaran dan sekiranya ternampak aktiviti mencurigakan, sila lapor kepada balai polis berhampiran dengan segera,” katanya.


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 12:45 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Dua guru kempunan duit gaji"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels