Guru dapat kaki palsu dari Bank Pembangunan Malaysia
KUALA LUMPUR, 31 Jan - Bank Pembangunan Malaysia Berhad Selasa menyampaikan sumbangan kaki palsu buatan syarikat Otto Bock dari Jerman kepada seorang guru bahasa Arab yang mengajar di sebuah sekolah di Gombak.Selain mendapat kaki palsu, Mahathir Al-Khobiri Mazlan, 23, yang kehilangan kaki kiri dari paras peha akibat kemalangan jalan raya tahun lalu, turut menerima wang tunai RM10,200 untuk menampung kos perubatannya.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Operasi Bank Pembangunan Jamaluddin Nor Mohamad yang menjelaskan ia dilakukan atas dasar kemanusiaan serta keprihatinan terhadap penderitaan Mahathir, melalui program "Kami Prihatin".
"Ia merupakan antara program tanggungjawab sosial Bank Pembangunan melalui Tabung Tazkiah Al-Amwal," kata beliau.
Menurutnya, bank tersebut akan meneruskan sumbangan dan aktiviti tanggungjawab sosialnya untuk mereka yang memerlukan.
Bank Pembangunan turut menyumbang RM20,000 kepada Sekolah Rendah Islam Al-Huda bagi tujuan pembinaan bangunan sekolah yang baru.
Sumbangan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengumpulan Dana, Ahmad Maulana Abdul Ghani.
Sebelum ini, Bank Pembangunan pernah menghulur bantuan kepada mangsa tsunami di Jepun selain menyumbang kepada pembinaan surau, masjid, pusat tahfiz serta anak yatim.
- BERNAMA