|

TPM : Kemorosotan minat terhadap Sains dan Matematik dikaji

IPOH: Masalah kemerosotan minat pelajar yang mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah turut termasuk dalam kajian semula sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian yang dilakukan secara menyeluruh itu dijangka siap sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

“Kajian menyeluruh setiap bidang mata pelajaran akan diambil kira. (Akan kaji) di mana kelemahan dan bagaimana untuk diperkukuhkan (sains dan matematik),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini, semalam.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kurangnya minat pelajar untuk mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini dilaporkan berkata, kementerian memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dalam bidang sains dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen.

Muhyiddin berkata, kajian menyeluruh sistem pendidikan itu dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan dalam sistem pendidikan negara.

“Itu sebab kita ambil inisiatif untuk mengkaji semula sistem dan pencapaian kita. Kita kena review keseluruhan sistem pendidikan kita…. di mana kita telah berjaya dan di manakah kelemahan kita.

“Walaupun ada di beberapa peringkat kita telah mencatat kemajuan yang membanggakan tetapi ada beberapa pihak lain yang anggap kita terkebelakang,” katanya.

Beliau berkata, selepas kajian itu dilaksanakan, kerajaan akan dapat mengenal pasti bidang yang perlu diberi lebih tumpuan.

“Apabila kajian dibuat oleh pakar nanti mereka akan buat perakuan dan cadangan dan kita akan ambil kira cadangan itu,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata, inisiatif telah dimulakan sejak beberapa bulan lepas untuk mengkaji seluruh sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, kajian menyeluruh sistem pendidikan negara tidak pernah dilakukan semenjak laporan-laporan terdahahu seperti Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib dibentangkan.

“Dalam tempoh 30 tahun sejak laporan itu dibentangkan tidak ada kajian menyeluruh dibuat untuk memastikan adakah apa yang telah dilaksanakan memberi impak dan kesan dalam pembangunan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, beberapa jawatankuasa telah dibentuk bagi mengkaji setiap aspek dalam sistem pendidikan negara.

“Kita lihat ada kemajuan yang telah dicapai dan ternyata pencapaian agak membanggakan dalam beberapa bidang tetapi secara keseluruhan masih terdapat ruang yanga agak besar untuk diperbaiki,” katanya. — Bernama


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 3:59 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "TPM : Kemorosotan minat terhadap Sains dan Matematik dikaji"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels