|

Najib: 'Depoliticise' pendidikan demi masa depan Malaysia

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin semua peringkat perlu berani 'depoliticise' (mengetepikan politik dari) bidang pendidikan dan membuat keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk tujuan populis.

Perdana Menteri berkata, perkiraan pendidikan adalah perkiraan nasional dan bukannya partisan kerana ia bermatlamat memastikan setiap anak Malaysia mampu merealisasikan potensi kurniaan Tuhan yang dimiliki mereka.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia sentiasa menangani isu pendidikan sebagai isu langkau politik dengan terus memperuntukkan jumlah yang signifikan untuk sektor itu dalam bajet negara, termasuk pada 2012 yang memperuntukkan RM37 bilion.

"Iltizam kewangan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat komited bagi menjadikan pendidikan sebagai suatu bidang keutamaan negara.

"Kita bukan sahaja melihat dari segi kuantitatif tetapi juga kualitatif, serta pastikan setiap ringgit duit pembayar cukai digunakan sebaik mungkin agar negara dan rakyat mendapat 'value for money'," katanya ketika berucap melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Kata Najib, era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir, dan kini sedar bahawa harapan masyarakat terhadap keberkesanan dasar pendidikan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi menghadapai cabaran abad ke-21 semakin meningkat.

"Masyarakat sekarang lebih peka dengan pembangunan yang melanda sekitar dunia. Jangkaan mereka terhadap pendidikan adalah tinggi, mereka mengharapkan pulangan yang menguntungkan iaitu dengan anak-anak mereka menjadi seorang yang berguna," katanya.

Najib berkata, harapan kerajaan ialah setiap anak-anak di negara ini mempunyai akses yang sama dalam pendidikan yang berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

"Kerajaan akan berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik untuk setiap rakyat. Inilah tanggungjawab kita. Setiap dekad kemerdekaan menyaksikan cabaran pendidikan yang bersifat bitara.

"Sebagai sebuah negara, kita telah berjaya menangani cabaran pendidikan yang dihadapi, era awal kemerdekaan telah menyaksikan bagaimana kita menangani masalah buta huruf, diikuti cara kita menangani era ekonomi berasaskan pertanian dan kemudiannya perindustrian," kata Najib.

Dalam beberapa dekad, Najib berkata Malaysia berjaya melakukan transformasi daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, selain mampu menangani cabaran pendidikan yang dihadapi.

Menurutnya, Malaysia hari ini ialah sebuah negara dalam transisi ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan ekonomi berasaskan pengetahuan, dan cabaran sekarang berbeza berbanding dekad mahupun era ekonomi lalu.

"Untuk mengaut laba masa hadapan, kita perlu berani melabur dan menyemai secara bijak. Kita perlu membuat perubahan yang perlu bagi mencapai keberhasilan bersifat lonjakan berganda," katanya.

Dalam laporan yang dibentangkan hari ini, Najib berkata kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab dengan mengakui kelemahan yang ada dan berusaha merencana hala tuju yang lebih baik.

"Ia imperatif moral dan nasional yang perlu ditunaikan. Kita tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah jika kita dicengkam 'denial syndrome'. Kita memerlukan penyelesaian yang kreatif dan inovatif," katanya.

"Kita memerlukan komitmen dan kepakaran, kita memerlukan pengorbanan dan sumbangan semua pihak dan semua segmen masyarakat bagi merungkaikan sebarang masalah, bukannya populisme sembrono," tegas Perdana Menteri.

Merujuk kepada cadangan Pelan Pembangunan Pendidikan itu, Najib berkata ia bersifat futuristik, komprehensif, telus, demokratik serta telah dinilai oleh panel dalam dan luar negara secara objektif.

Selain peningkatan pelaburan dan perdagangan antarabangsa, Perdana Menteri berkata pendidikan merupakan aset penting dalam pembangunan negara.

Beliau turut menarik perhatian tentang pentingnya aspek pembangunan kerohanian serta nilai dan sikap dalam kalangan masyarakat ke arah mencapai cita-cita dan impian negara.

"Demonstrasi jalanan bukan nilai masyarakat yang boleh kita banggakan dan bukan nilai yang patut dipupuk. Perbuatan melondehkan seluar di khalayak ramai bukanlah nilai Malaysia yang boleh dibanggakan," kata Najib yang merujuk kepada perbuatan biadab seorang pelajar yang berlaku pada malam ambang merdeka.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan akan memastikan sistem pendidikan negara bermutu tinggi dan berkesan bagi menjayakan hasrat negara melahirkan generasi abad ke-21 yang lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran tinggi.

Merujuk kepada transformasi pendidikan yang bakal berlangsung, beliau berkata: "Walaupun 13 tahun bukan tempoh yang panjang, saya yakin ia mampu dilaksanakan apabila kita semua faham dan hayati prinsip transformasi dan seterusnya berganding bahu melaksanakan perkara yang ditetapkan."

Najib berkata kerajaan yakin pelan itu akan menjadi asas amat bermakna dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang maju, kuat dan makmur selain membolehkan negara duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara berjaya.

Selain itu, Najib berkata pelan itu juga akan memastikan anak-anak Malaysia menguasai bahasa Inggeris selain mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan nasional.

"Saya menyarankan kita menggunakan kesusasteraan Inggeris sebagai antara cara berkesan untuk menambah baik penguasaan bahasa Inggeris...kita menyedari perlunya usaha berterusan untuk memperkasakan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang menjadi kunci kepada dunia dan kemajuan," kata beliau.

Najib turut menggesa generasi muda untuk menguasai bahasa ketiga.

Selain itu, beliau menjemput rakyat Malaysia termasuk badan bukan kerajaan, syarikat persendirian dan pihak swasta untuk memberi input bagi menjayakan pelaksanaan semua inisiatif yang terkandung dalam pelan itu.

Beliau menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak Malaysia yang menurutnya tidak boleh diserahkan kepada Kementerian Pelajaran dan guru semata-mata.- Bernama


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 2:39 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Najib: 'Depoliticise' pendidikan demi masa depan Malaysia"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels