|

Guru dan Pelajar dilarang sertai Perhimpunan 901

SEREMBAN, 4 Jan - Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar dan guru yang menyertai perhimpunan haram Kempen "Bebaskan Anwar 901" pada Isnin ini.

Sambil mengingatkan pelajar dan pendidik supaya jangan terlibat dengan perhimpunan itu, beliau berkata Kementerian Pelajaran akan bertindak terhadap mereka.

"Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini memandangkan pihak polis sudah membuat kenyataan tidak akan mengeluarkan permit kepada perhimpunan itu. Oleh itu, saya nasihatkan semua pelajar dan juga guru, jangan sekali-kali terlibat," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kolej Tunku Kurshiah di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada perhimpunan haram itu yang dirancang pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan keputusannya mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tertuduh.

Mohd Puad berkata penganjur perhimpunan itu sepatutnya akur dengan apa saja keputusan mahkamah.

"Pada saya tindakan itu adalah tidak wajar dan menunjukkan bahawa usaha mengadakan perkhimpuan itu lebih daripada usaha yang bersifat mementingkan diri dan tidak menghormati undang-undang," katanya.

Mohd Puad berkata pengambilan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sesi 2012 ialah seramai 7,380 orang untuk Tingkatan Satu dan 5,500 untuk Tingkatan Empat.

Katanya keputusan pelajar yang berjaya masuk ke Tingkatan Empat SBP akan diketahui pada 21 Jan ini manakala untuk kes rayuan masuk ke Tingkatan Satu SBP akan dimaklumkan pada 16 Feb.

Kini terdapat 63 SBP, sembilan daripadanya sekolah premier, 40 sekolah menengah sains, 12 sekolah berasrama penuh integrasi dan dua sekolah menengah agama persekutuan.

Sebuah lagi SBP akan dibuka di Bentong, Pahang, pada Mei ini.

- BERNAMA


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 12:58 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Guru dan Pelajar dilarang sertai Perhimpunan 901"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels