Pelajar tingkatan satu dikhuatiri dibaham buaya!
![]() |
Gambar Hiasan |
Mohd. Idris Roni, 13, dari Tanjung Sungai Midin, Kampung Semerah Padi, di sini dilaporkan hilang ketika mengharungi air sungai itu untuk memeriksa bubu yang dipasang dalam kejadian pukul 6.30 petang itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Terry Robson berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 7.30 petang dan empat anggota dikejarkan ke lokasi bagi meninjau keadaan di kawasan tersebut.
"Operasi mencari dan menyelamat terus digerakkan dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta penduduk kampung dengan kekuatan keseluruhan seramai 39 orang.
"Kita melakukan operasi mencari meliputi kawasan Sungai Midin hingga ke Sungai Semariang Batu dan ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
Operasi pencarian disambung semula pada pukul 7.30 pagi ini," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari sekolah pada pukul 6.20 petang telah pergi ke sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya bersama seorang rakan, Mohd. Uzait Jeffry, 15, untuk memeriksa bubu ketam yang dipasang.
Bagaimanapun ketika mengharungi air sungai, Mohd. Idris yang berada di belakang Mohd. Uzait tiba-tiba tenggelam sebelum hilang menyebabkan rakannya cemas lalu memanjat pokok sementara menunggu mangsa timbul semula.
Mangsa namun tidak timbul-timbul dari dalam sungai terbabit menyebabkan Mohd. Uzait terus menunggu di atas pokok kerana khuatir mangsa disambar buaya memandangkan sungai terbabit sememangnya terkenal dengan reptilia berkenaan.
Dalam pada itu, ibu Mohd. Uzait yang bimbang selepas anaknya tidak pulang ke rumah keluar mencarinya dan menemui remaja tersebut di atas pokok sebelum memaklumkan kepada penduduk.
