|

SBPA : Cuepacs lega beberapa tuntutan dipersetujui

PUTRAJAYA: Lima tuntutan yang dikemukakan CUEPACS berhubung skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menerima maklum balas positif daripada kerajaan, sekali gus memungkinkan kontroversi isu itu diselesaikan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan pada 16 April depan.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, ketika pertemuan dengan pihaknya baru-baru ini memaklumkan kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan lima tuntutan berkenaan.

Katanya, Mohd Sidek memaklumkan lima tuntutan berkenaan perlu diberi pertimbangan, terutama yang membabitkan isu kritikal.

Selain itu, Omar berkata, mesyuarat pasukan petugas khas semakan semula SBPA kali ketiga semalam menunjukkan maklum balas positif secara terbuka untuk menilai lima tuntutan berkenaan serta beberapa cadangan CUEPACS.

"Selepas tiga kali bermesyuarat dan dengan kemasukan tiga lagi anggota CUEPACS dalam pasukan itu, ada perkembangan positif ditunjukkan. Ada keterbukaan dalam mendengar maklum balas daripada kita.
"Berikutan itu, kita yakin perkara ini boleh diselesaikan lebih awal daripada tempoh yang diberikan. Lima tuntutan CUEPACS bukan satu perkara yang menyulitkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, di sini semalam.

Sebelum ini, CUEPACS mengumumkan lima tuntutan, iaitu mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan penjawat awam dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan penjawat awam yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Omar juga berkata, persetujuan kerajaan terhadap lima tuntutan CUEPACS itu akan memberikan keceriaan kepada kakitangan awam yang sebelum ini kurang puas hati dengan pelaksanaannya.

"Isu SBPA ini dapat diselesaikan secara perbincangan seperti yang diadakan hari ini kerana jika CUEPACS tidak dibawa dalam rundingan, ia akan terus menjadi isu di kalangan kakitangan awam," katanya.

Beliau juga memaklumkan satu bengkel Jawatankuasa Bertindak CUEPACS berhubung isu SBPA akan diadakan di ibu negara pada 17 dan 18 Februari ini bagi menyediakan kertas kerja komprehensif mengenai masalah skim baru itu.

"Bengkel ini akan dihadiri pelbagai pihak berkaitan, termasuk ahli akademik bagi membincangkan isu itu dan menyediakan satu kertas kerja komprehensif untuk penyelesaiannya," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, pasukan petugas khas masih meneruskan perbincangan dan semua maklum balas serta cadangan yang diterima akan diteliti.

Kerajaan sebelum ini memberikan tempoh tiga bulan yang berakhir 16 April ini kepada pasukan berkenaan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan SBPA selepas menerima arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya kedua-dua pihak berbincang bagi menyelesaikannya.


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 10:45 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "SBPA : Cuepacs lega beberapa tuntutan dipersetujui"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels