|

Guru cemas diacu parang

KARAK – Niat sekeluarga beristirahat di rumah sempena hujung minggu bertukar detik mencemaskan apabila didatangi tiga ‘tetamu’ tidak diundang bersenjatakan parang kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, S Sasikala, 49, bersama dua anak perempuannya berusia 13 dan 20 tahun berada di dalam rumah, manakalanya ibunya, Letchumi, 75, sedang membaca akhbar di tepi rumah.

Sasikala yang merupakan seorang guru berkata, ketiga-tiga lelaki itu masuk ke rumahnya di Taman Hijau, dekat sini, menerusi pintu pagar dan terus meluru ke arah ibunya yang berada di tepi rumah.

Menurutnya, lelaki terbabit mengacu parang di leher ibunya dan membawanya masuk ke dalam rumah sebelum meminta menyerahkan barang kemas yang dipakai.

“Ketika itu saya dan seorang anak berada di bilik tidur utama manakala anak sulung pula sedang mandi di biliknya.

“Ketiga-tiga lelaki itu bertindak mengumpulkan kami berempat di dalam bilik tidur utama sebelum meminta saya menunjukkan tempat simpanan barang berharga,” katanya.

Bimbang diapa-apakan, Sasikala terpaksa menurut kehendak lelaki terbabit.

Dikunci dalam tandas

Sasikala berkata, ketiga- tiga lelaki itu tidak memakai sebarang penutup muka dan usia mereka dalam lingkungan 25 tahun ke bawah.

Katanya, mereka turut mengugut dan mengacukan parang di bahagian leher serta tangan keluarganya sekiranya berbuat bising.

"Selepas kira-kira 20 minit menggeledah semua bilik dan mengambil barangan berharga, kami sekeluarga diminta masuk ke dalam tandas bilik tidur utama dan dikunci. Ketika itulah ketiga-tiga mereka melarikan diri.

“Saya dan anak-anak mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membuka pintu tandas memandangkan ia dikunci dari luar sebelum meminta pertolongan jiran,” katanya.




Terkejut keluarga disamun

Sementara itu, suami Sasikala, K Mathavan, 49, yang juga seorang guru berkata, dia dimaklumkan isterinya berhubung kejadian itu menerusi panggilan telefon dan bergegas pulang ke rumah.

Menurutnya, dia terkejut kerana kejadian itu berlaku selepas 15 minit dia keluar rumah untuk menghantar anak lelakinya ke Bentong bagi menghadiri kelas tuisyen.

“Saya keluar dari rumah jam 9.45 pagi selepas bersarapan bersama semua ahli keluarga dan kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi.

“Namun saya bersyukur kerana mereka tidak diapa-apakan penyamun terbabit,” katanya.

Mathavan berkata, susulan kejadian itu mereka membuat laporan polis dan selepas diperiksa pelbagai barangan dilarikan penyamun termasuk komputer riba, empat telefon bimbit, wang tunai RM500 dan barang kemas.

Siasatan diteruskan Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, ia dipercayai dilakukan kumpulan yang aktif melakukan kegiatan samun di beberapa daerah lain.

“Modus operandi kumpulan itu dipercayai sama dan polis sedang menggiatkan usaha mengesan mereka. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 8:35 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Guru cemas diacu parang"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels