|

Isu telefon bimbit - NUTP jangka banyak masalah lain akan timbul

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyifatkan keputusan Kementerian Pelajaran membenarkan murid dan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun depan sebagai tindakan yang boleh menimbulkan banyak masalah di sekolah.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata antara masalah yang dikenal pasti berkemungkinan berlaku kecurian telefon bimbit, hilang fokus ketika guru mengajar dan kewujudan ‘ejen’ menjual kad tambah nilai di kalangan pelajar.

“Keputusan ini hanya akan menambah beban dan tugas kepada pihak sekolah terutama guru kerana perlu mengawasi murid dan pelajar ketika mengajar selain memastikan tiada kecurian berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut beliau, pihak persatuan bimbang sekiranya telefon bimbit yang kini canggih dengan kemudahan kamera dan Internet akan disalah guna murid dan pelajar ketika ujian selain menggunakannya untuk mengintai rakan di tandas.

“Keputusan ini hanya memudahkan lagi mereka untuk menghantar SMS atau mengambil gambar kertas ujian dan menghantarnya kepada pihak lain untuk mendapatkan jawapan,” katanya.




Hashim berkata, kebebasan membawa telefon bimbit ke sekolah juga dikhuatiri akan mencemarkan imej sekolah memandangkan generasi muda sekarang gemar memuat naik gambar dan video di laman sosial.

Katanya, murid dan pelajar boleh menjadi malas untuk mencatat nota dengan adanya kemudahan perakam suara dan video pada telefon bimbit untuk merakamkan pengajaran guru dalam kelas.

“Murid dan pelajar miskin yang tidak mampu memiliki telefon bimbit akan berasa rendah diri apabila melihat rakan lain menunjukkan alat itu di depan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, telefon bimbit bukanlah alat penting di sekolah kerana murid dan pelajar boleh menggunakan telefon di pejabat sekolah atau telefon awam yang disediakan untuk membuat panggilan penting.

“Berbanding murid dan pelajar Malaysia, pelajar di luar negara seperti Sweden dan Denmark lebih berdisiplin dan sikap ini membolehkan mereka membawa telefon bimbit ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, pihak persatuan meminta murid dan pelajar untuk bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya telefon bimbit mereka hilang atau dicuri ketika berada di sekolah dan tidak membabitkan guru dalam masalah itu.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong menjelaskan kementeriannya sedang merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 10:46 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Isu telefon bimbit - NUTP jangka banyak masalah lain akan timbul"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels