|

Pelajar cedera dipukul senior

Gambar hiasan
REMBAU – Hanya kerana bergurau di dalam surau selepas solat isyak, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah berasrama di daerah ini mengalami kecederaan dipercayai dipukul dua senior tingkatan lima sekolah sama, malam Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dan rakannya juga berusia 13 tahun dipercayai dipanggil dua senior berkenaan untuk masuk ke bilik dorm bagi memilih untuk melakonkan watak bertumbuk atau ditumbuk.

Menurut sumber, sebaik sahaja diarahkan untuk memilih watak itu, mangsa dan rakannya sepakat memilih watak bertumbuk sebelum melakonkannya.

“Bagaimanapun, salah seorang senior berkenaan tidak berpuas hati lalu memukul mangsa sehingga cedera di bahagian mata sebelah kanan dan betis sebelah kanan.

“Manakala, seorang lagi senior memukul mangsa dengan menggunakan penyapu. Malah, mangsa juga diugut akan dibelasah sekiranya memberitahu pihak sekolah berhubung insiden berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sumber berkata, pada keesokan harinya iaitu kira-kira jam 11.30 pagi, warden sekolah berkenaan menghubungi bapa mangsa untuk menyatakan anaknya mengalami kecederaan dan lebam-lebam.

Menurutnya, bapa mangsa yang bergegas datang ke sekolah segera menanyakan anaknya perkara sebenar dan lama kelamaan, anaknya mengaku dirinya dipukul senior sekolah berkenaan.

“Malah, kejadian dipukul juga bukanlah kali pertama di mana sebelum ini dia pernah mengalami nasib sama tetapi tidak memberitahu bapanya, namun tidak ingat tarikh kejadian kali pertama itu berlaku.

“Bapa mangsa segera membawa mangsa ke hospital dan membuat laporan polis selepas pemeriksaan bagi tujuan keselamatan anaknya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sinar



Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 9:38 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Pelajar cedera dipukul senior"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels