|

Pra Bajet 2013 - Pendidikan tetap diutamakan

MUHYIDDIN bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu semalam. 
KUALA TERENGGANU - Bidang pendidikan dijangka terus diberi keutamaan dalam Bajet 2013 yang bakal dibentangkan Jumaat ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin, Bajet 2013 akan terus memberi keutamaan dalam bidang pendidikan bagi menyediakan masa depan lebih baik kepada rakyat untuk menghadapi persaingan global.

"Pada tahun lepas, sebanyak 26 peratus daripada peruntukan bajet disalurkan untuk bidang pendidikan. Saya berharap dalam bajet kali ini pendidikan tetap jadi keutamaan.

"Kita sudah mendapat jaminan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pendidikan," katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga berharap isu rumah mampu milik untuk golongan sederhana dapat ditekankan agar nasib mereka terus terbela di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita tidak akan biarkan masalah ini berlarutan selagi kerajaan BN diberi mandat untuk memimpin negara dan saya harap ia juga akan dipertimbangkan dalam bajet itu nanti," katanya pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membina sebuah dewan baharu di Kampung Panji, Wakaf Mempelam dan sebanyak RM430,000 lagi untuk SMK Sultan Ahmad membaiki dewan, surau, gelanggang dan membeli sebuah van.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah soal pemerintahan biarpun negara telah lama mengecapi kemerdekaan.

"Banyak negara yang terlebih dulu memperoleh kemerdekaan daripada Malaysia, kerajaannya gagal memberi 'makna' kepada kemerdekaan apabila rakyatnya masih menderita.

"Tidak semua kerajaan berupaya membela nasib rakyat dengan memberi hak sepatutnya seperti menyediakan kemudahan untuk kemajuan, keselamatan, keamanan, perlindungan dan penyaluran bantuan secukupnya," katanya.

Beliau menambah, bukan semua negara merdeka mampu melakukan itu semua kecuali negara yang dipimpin oleh kerajaan yang benar-benar mahu membantu dan prihatin kepada rakyat.

Justeru, katanya, nikmat keamanan dan kesejahteraan harus disyukuri dan perlu dipertahankan kerana ia tidak semestinya berkekalan.

Kosmo!


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 9:46 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Pra Bajet 2013 - Pendidikan tetap diutamakan"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels