|

Pandu Puteri Disaran Lestari Budaya Kesukarelaan Pada 70,000 Ahlinya - Rosmah

JASIN, 19 Feb - Persatuan Pandu Puteri disaran melestarikan budaya kesukarelaan di kalangan 70,000 anggotanya di seluruh negara agar sikap bertanggungjawab, prihatin, peka, disiplin serta penyayang dapat disemai.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata dengan semangat 1Malaysia yang menitikberatkan sikap bekerjasama, persatuan itu mesti bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dalam menjayakan hasrat murni itu.

"Seperti kata pepatah 'yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul', bersama-samalah kita bergerak dan mengibarkan panji persatuan ke seluruh pelusuk negara sebagai sebuah badan yang aktif dan penuh prihatin dalam mendekati masyarakat yang memerlukan," katanya ketika berucap di Majlis Pandu Puteri Melaka Turun Padang di Perkampungan Ikan Bakar Terapung, Umbai, di sini.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia berkata menerusi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, Pandu Puteri telah dilatih untuk memenuhi cogan katanya iaitu "Selalu Sedia", "Memberi Khidmat" dan "Tolong Orang Selalu".

"Apa yang paling penting, terima kasih kerana telah menyahut seruan saya supaya setiap Pandu Puteri Cawangan Negeri masing-masing diberi nafas baru melalui program turun padang," katanya.

Beliau tertarik dengan konsep "Bersama Kita Prihatin" ataupun " We Care We Share" yang telah dilaksanakan oleh Pandu Puteri Melaka melalui projek menghasilkan kerja tangan yang mampu dijadikan sebagai punca pendapatan sampingan.

- BERNAMA


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 11:16 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Pandu Puteri Disaran Lestari Budaya Kesukarelaan Pada 70,000 Ahlinya - Rosmah"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels