|

Sistem Pendidikan Malaysia sentiasa dikaji secara berterusan

JITRA, 14 Feb - Sistem pendidikan perlu sentiasa dikaji dan melalui proses penambahbaikan seiring perkembangan ilmu dan teknoloji bagi melahirkan modal insan yang berupaya memacu Malaysia menjadi negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata guru sebagai barisan hadapan untuk mencapai matlamat itu mempunyai peranan dan tanggungjawab besar mendidik dan melahirkan tenaga manusia berilmu dan mahir dalam pelbagai bidang.

"...kerajaan mengkaji pelbagai perkara berkaitan bidang pendidikan dan ko-kurikulum, Laporan Razak, Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) termasuk memanjangkan latihan untuk guru dan pengambilan guru bahasa Inggeris dari negara penutur jati bahasa itu.

"Setiap perubahan bertujuan menambah baik mutu pengajaran dan bidang pendidikan kerana ia perkara pokok bagi Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020," katanya semasa menyampaikan ucaptama bertajuk 'Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kedah dan Perlis' di Dewan Wawasan di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan sentiasa mengkaji pencapaian sistem pendidikan untuk melihat pencapaian dan keberkesanannya. Katanya antara sebab Malaysia lambat maju kerana dasar penjajah tidak memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan mengakibatkan lebih 70 peratus rakyat berpendapatan kecil, sebahagian miskin dan miskin tegar.

"Malaysia kini telah mencapai satu tahap negara membangun yang maju dalam pelbagai bidang khususnya kemajuan besar dalam ekonomi di kalangan negara-negara membangun.

"Dalam konteks global kita mahu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju dalam apa jua bidang... kerana itu kita mesti sedia bertanding dan bersaing atau ketinggalan," kata Muhyiddin.

Beliau berkata dalam pelan transformasi kerajaan sebanyak 3.2 juta peluang pekerjaan dalam sektor baru sedia ditawarkan menjelang 2020.

Katanya rancangan ini hanya boleh berjaya melalui sistem latihan dan pendidikan yang betul.

Mengenai minat pelajar yang mengambil jurusan sains merosot, beliau berkata sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan mengkaji perkara itu telah membuat penemuan baru untuk diambil tindakan jangka masa panjang.

Guru-guru bahasa Inggeris yang dibawa dari Amerika pula telah boleh menyesuaikan diri dan laporan awal menunjukkan terdapat kemajuan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris yang diajar, katanya.

Menjawab soalan seorang pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) apabila majlis dibuka untuk dialog agar setiap pengerusi PIBG diberi elaun seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Muhyiddin berkata kerajaan telah memansuhkan banyak yuran persekolahan dan adalah wajar ibu bapa bersyukur.

Katanya kerajaan mengiktiraf peranan PIBG membantu pihak sekolah meningkatkan kecemerlangan pelajar walaupun mereka tidak diberikan elaun.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri menyerahkan cek Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) bernilai RM966,879 untuk negeri Kedah kepada pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Muhyiddin turut menyampaikan cek bernilai RM10.22 juta wang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Roslee Ismail manakala Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis, Don Kasa menerima cek KWAPM bernilai RM2.059 juta.

- BERNAMA


Share/Bookmark
Posted by Cikgu Makmal on 2:17 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Sistem Pendidikan Malaysia sentiasa dikaji secara berterusan"

Leave a reply

Recently Added

Blog Archive

Labels